PELANCONGAN merujuk kepada aktiviti melawat, melancong atau mengembara ke sesuatu tempat lain yang melebihi 50 batu dari tempat kediaman dan tidak lebih dari satu tahun untuk tujuan rekreasi atau mengisi masa lapang.

Justeru, pasti setiap orang jika diberi peluang, mahu melancong, bercuti atau mengembara ke tempat-tempat yang diminati. Namun, sejak wabak Covid-19 melanda dunia, rata-rata pemilik pusat pelancongan dalam dan luar negara menutup premis mereka bagi mengelak penularan wabak berkenaan.

Ini kerana wabak itu boleh disebarkan secara langsung antara manusia atau melalui sentuhan pada permukaan yang telah tercemar selain, titisan cecair daripada hidung dan mulut iaitu pesakit yang bersin atau batuk. Sebab itulah semua pusat pelancongan kini ditutup, demi keselamatan semua.

Tahukah anda, sektor pelancongan negara pada Januari hingga Februari lalu mengalami kerugian sebanyak RM3.37 bilion akibat penularan Covid-19! Ini jumlah yang sangat banyak untuk tempoh dua bulan sahaja sedangkan sektor tersebut sepatutnya antara penyumbang utama pendapatan negara.

Kerugian tersebut dikatakan berpunca daripada pembatalan pakej-pakej pelancongan yang secara tidak langsung menjejaskan mereka yang bekerja dengan syarikat penerbangan dan perhotelan. Kedua-dua bahagian ini mempunyai hubungan rapat dengan industri pelancongan.

Untuk rekod, industri pelancongan menyumbang RM84.1 bilion kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi ketibaan kirakira 25.8 pelancong antarabangsa pada tahun 2018. Berdasarkan kepada sumbangan pendapatan itu, jika Covid19 gagal dikekang, pendapatan negara akan terus terjejas dan industri pelancongan dijangka mengalami kerugian tahunan menjangkau RM51 bilion.

Ini yang dikatakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media pada 13 Mac lalu. Industri pelancongan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada lebih 3.7 juta rakyat.

Oleh itu, kerajaan harus melakukan sesuatu bagi memperkasa industri pelancongan daripada terus merana kerana pada Januari hingga Mac, industri ini dianggarkan mengalami kerugian lebih RM9 bilion. Data tersebut didedahkan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri baru-baru ini.

Pemain industri pelancongan tempatan di Sarawak tidak terkecuali menerima tempias ekoran penularan wabak ini. Ramai pelancong membatalkan tempahan penginapan dan penerbangan sejak wabak tersebut merebak awal Mac. Tambahan pula, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian Covid-19 turut menjejaskan aktiviti pelancongan.

Tetapi, tahukan anda kirakira 95,000 tempahan bilik hotel di negara ini dibatalkan pada Februari lalu gara-gara koronavirus. Presiden Matta, Datuk Tan Kok Liang mengesahkan angka tersebut dengan menyatakan yang membatalkan tempahan tersebut ialah pelancong dari China.

Ini sebab Kerajaan China menghalang rakyatnya melancong ke negara lain. Untuk rekod, Malaysia merupakan destinasi utama pilihan pelancong dari Asia Barat dan Arab Saudi dan mereka menduduki tangga teratas dalam indeks Prestasi Pelancong Malaysia bagi separuh pertama tahun 2019.

Rakyat negara Islam itu menyumbang sebanyak RM11,376.90 daripada perbelanjaan per kapita negara ini tahun lalu. Ia disusuli dengan sumbangan pelancong dari United Kingdom, Kanada, China dan Amerika Syarikat. Namun kini, semua pelancong dari negara-negara berkenaan tidak dibenarkan memasuki Malaysia untuk sementara waktu.

Pendek kata, setiap negara melarang rakyatnya melancong keluar dengan melaksanakan perintah berkurung, menutup kemasukan kepada pelawat asing yang telah berada di negara-negara paling teruk terjejas, mengantung penerbangan, menutup sempadan kepada pelancong asing, sekatan pada pintu masuk dan keluar, darurat, larangan perjalanan, kuarantin mandatori dan sebagainya.

Semua arahan ini menyebabkan rakyat tidak dapat menjalani kehidupan seperti biasa untuk satu tempoh dan bagi kaki melancong, ia pasti menyedihkan kerana terpaksa duduk setempat untuk tempoh yang mungkin terlalu lama bagi mereka.

Jika kita lihat negara Itali, bandar-bandar utamanya seperti Rom, Milan dan Venice yang mendapat jolokan kota romantik dan tumpuan pelancong seluruh dunia kini menjadi ‘bandar hantu’ akibat Covid-19 kerana kini segalanya sepi dan senyap.

Tiada sesiapa pun yang duduk bersantai di sekeliling tapak air pancuran berbentuk bot, Fontana della Barcaccia atau menaiki anak-anak tangga di lokasi tarikan utama iaitu Spanish Steps. Ya, Itali kini menjadi negara paling terjejas teruk akibat Covid-19.

Persekutuan Pelancongan Itali, Assoturismo melaporkan terdapat sehingga 90 peratus tempahan hotel dan agensi pelancongan untuk bulan Mac telah dibatalkan di Rom manakala 80 peratus pembatalan di Sicily.

Manakala, persekutuan bagi industri pelancongan kebangsaan, Confturismo pula, meramalkan Itali akan menanggung kerugian sehingga lebih AS$8 bilion sehingga Mei nanti. Inilah impak krisis Covid-19 kepada industri pelancongan kepada sesebuah negara.