MALUDAM: Sebanyak 3,900 ketua isu rumah (KIR) di seluruh Dun Lingga bakal menikmati sumbangan masing-masing yang akan diagihkan secara berperingkat.

Adunnya Simoi Peri berharap bantuan itu dapat membantu meringankan beban rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Insya-Allah semua pihak akan mendapat bantuan berupa keperluan dapur.

“Cuma saya harap warga Dun Lingga dapat terus mematuhi PKP demi kebaikan bersama,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Jelasnya, apabila setiap warga mampu mematuhi arahan secara tidak langsung dapat memutuskan rantaian penularan Covid-19, sekali gus mengurangkan risiko jangkitannya.

“Kita harus faham wabak ini bersifat pandemik.

Seandainya kita tidak berwaspada serta ingkar nasihat pihak berkuasa, tidak mustahil akan mengundang masalah yang lebih besar.

Akhirnya keadaan menjadi semakin sukar untuk dipulihkan.

“Insya-Allah dengan adanya kerjasama semua pihak, kita akan dapat mengurangkan penularan Covid-19 seterusnya memulih sepenuhnya dunia dengan izin Allah SWT,” ujarnya.

Beliau terdahulu merakamkan penghargaan terhadap anggota parti PBB Cawangan Lingga dan ketua-ketua kaum serta masyarakat kerana memudahkan urusan penyaluran bantuan.

Semalam, sebanyak 1,100 sumbangan diagihkan kepada KIR di semua kampung dan rumah panjang di Maludam termasuk Triso.

Manakala tempat-tempat lain akan disalurkan secara berperingkat.