MAJENE: Indonesia membebaskan 18,000 banduan dalam usaha terdesak menghentikan penularan Covid-19 yang melanda sistem penjara yang penuh sesak, menurut pihak berkuasa.

Pembebasan itu dilakukan beberapa hari selepas pengumuman republik itu yang mahu membebaskan lebih 30,000 banduan selepas menerima tekanan daripada penjara yang dikatakan berisiko penyakit berjangkit dan keadaan yang kotor.

PBB sebelum ini menyeru semua negara supaya membebaskan penghuni penjara yang berisiko dengan Afghanistan minggu lepas mengumumkan membebaskan 10,000 tahanannya.

“Kami menyasar membebaskan 30,000 penghuni secara keseluruhan, namun kemungkinan lebih ramai dibebaskan,” kata Rika Aprianti, jurucakap untuk Ketua Pengarah Jabatan Pembetulan.

“Ini sebahagian daripada rancangan mencegah penyebaran Covid-19 di penjara,” katanya. Beliau turut mendedahkan beberapa butiran namun kerajaan turut memerintahkan banduan yang dibebaskan termasuk pesalah remaja dan dewasa yang sudah menjalani sekurang-kurangnya dua pertiga daripada hukuman mereka.

Banduan juga dinasihatkan mengkuarantin diri di rumah masing-masing selepas dibebaskan.

Salah seorang yang dibebaskan, Firdaus dipenjara pada 2017 di pulau Sulawesi atas kesalahan mencuri sebentuk cincin emas.

“Saya takut jika dijangkiti di dalam penjara, ini tidak temasuk pengawal yang datang dan pergi dan kami tidak tahu siapa kontak rapat mereka,” kata lelaki berusia 33 tahun yang sepatutnya dibebaskan pada November ini. Indonesia hanya mempunyai 522 institusi penjara yang menempatkan kira-kira 270,000 banduan.

Selain masalah banduan melarikan diri dari penjara, ia juga dikritik kerana keadaan penjara yang teruk serta menyedihkan. Amnesty Antarabangsa mengalu-alukan pembebasan itu, namun ia menggesa kerajaan supaya memastikan banduan yang dibebaskan mempunyai ‘hati nurani’ selain golongan lebih tua yang mempunyai masalah kesihatan.

“Mereka terdedah dengan Covid-19 dan atas dasar kemanusiaan mereka mesti dibebaskan,” kata Pengarah Eksekutif Amnesty Indonesia, Usman Hamid. “Keadaan ini turut mengambil kira kekurangan akses bekalan air bersih dan kesesakan yang teruk, diburukkan lagi oleh wabak itu,” tambahnya. – AFP