KUCHING: Bayangkan anda tersadai di negeri orang dan impian untuk mengembara sambil berbulan madu tergendala kerana Coivd-19.

Pasangan dari Berlin, Jerman Matthias Tischler, 39, dan Sonja 30, sepatutnya menjelajah Borneo hingga Kalimantan menaiki treler Mercedes Hijau tetapi tersadai di bandar raya Kuching kerana arahan PKP.

Setelah lebih 17 negara dijelajah, kini mereka terpaksa memarkirkan van tersebut di Taman Budaya Kuching dan menunggu sehingga PKP tamat.

Dalam pertemuan bersama Suara Sarawak, Matthias memberitahu mereka pertama kali menjejak kaki ke Kuching pada Mac tahun lalu.

“Setelah itu kami pergi menggunakan van ini pergi ke Indonesia dan kembali ke Kuching pada bulan Disember tahun lalu sebelum bertolak lagi ke Australia.

“Kami tinggalkan van di kediaman rakan di Kuching ini.

Kami kembali lagi ke sini Pasangan Jerman tersadai di Taman Budaya sebelum PKP dan merancang ke Kalimantan.

“Kami telah melakukan persediaan untuk beberapa hari sebelum bertolak. Tetapi kami tersadai di sini,”katanya.

Jelasnya Matthias, lagi dia tetap bersyukur berada di Taman Budaya Kuching kerana dia berasa lebih dekat dengan alam sekitar tambahan tiada pengunjung berada di situ.

Katanya, keberadaan mereka di Kuching untuk tempoh ini diketahui sepenuhnya oleh ahli keluarga masing-masing dan menghubungi keluarga untuk menjelaskan mereka selamat sepanjang berada di Kuching.

“Saya berasa bertuah berada di sini, kerana keadaan PKP di sini agak tenang dan selesa.

“Kami dibenarkan untuk keluar membeli barangan keperluan dan menyesuaikan diri dengan kurangnya orang awam di sini dan kurangnya kesesakan jalan raya.

“Kami tidak berhasrat pulang ke negara asal melainkan keadaan mendesak,” katanya yang turut sedikit fasih berbahasa Melayu dan Indonesia.

Matthias berpendapat, masyarakat tempatan di Kuching antara paling harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Kita diterima baik sebagai tetamu. Ini menjadikan kami berasa selamat tambahan kerana sejarah kepelbagaian budaya menjadikan rakyatnya lebih bersatu padu,” katanya.

Ujarnya lagi, sememangnya dia akan berusaha untuk menghubungi pihak kedutaan supaya tahu akan keberadaan mereka di Kuching buat masa ini.

“Saya menghargai penerimaan masyarakat dan kerajaan negeri yang menerima kami sebaiknya.

“Begitu juga dengan Hatt Hiam penjaga Bangunan Persatuan Bulan Sabit Merah Kuching berdekatan, terima kasih kerana membenarkan mengguna kemudahan di sini dan peka dengan keadaan kami,” katanya.

Menyentuh mengenai prinsip yang ditekankan melalui konsep follow the green seperti yang dipaparkan di vannya, Matthias menjelaskan dia seorang yang mesra alam sekitar seperti mana penggembaraannya tersebut.

“Keseimbangan dalam kehidupan perlu ada, maka sepanjang menjelajah di 17 negara, banyak benda saya belajar sendiri,” tambahnya.

Matthias berharap, Covid-19 ini akan berakhir dan mendoakan kesejahteraan rakyat Sarawak.