KUANTAN: Tindakan seorang warga emas Jepun merakamkan gambar burung di taman rekreasi di sini minggu lalu membawa padah apabila didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keiji Ando, 81, seorang pesara, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nor Izzati Zakaria.

Tertuduh didakwa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dalam mana-mana kawasan jangkitan iaitu dari Lorong Seri Teruntum, di sini, ke Taman Rekreasi  Taman Gelora, Tanjung Api, di sini, pada jam 6.20 petang, 27 Mac lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Peraturan tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi Mohamed Noh memohon hukuman setimpal kerana tertuduh bukan berada di luar untuk membeli barangan keperluan tetapi melakukan hobinya semasa tempoh penguatkuasaan PKP.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan  (YBGK), Nur Hafidza Baharudin, yang mewakili tertuduh, merayu hukuman denda minimum kerana  tertuduh merupakan warga emas dan ketika ditahan polis, dia baru saja sampai di taman rekreasi itu untuk mengambil gambar burung yang merupakan hobinya.

Sementara itu, di mahkamah sama, sembilan individu termasuk seorang lelaki warga Indonesia, Utama Yuliandes, 25, dan seorang lelaki Myanmar, Shamsul Alam Boshir Ahmad, 32, serta seorang wanita tempatan berumur 40 tahun didenda antara RM800 sehingga RM1,000 atau penjara  tiga bulan kerana mengingkari arahan PKP.

Mereka masing-masing mengaku bersalah melakukan kesalahan itu antara 26 Mac hingga 31 Mac, di beberapa lokasi di bandar ini.

Muhammad Muhairi mengendalikan pendakwaan manakala semua tertuduh diwakili peguam Nur Hafidza.

Fasa pertama PKP bermula 18 Mac hingga 31 Mac dan fasa kedua dari 1 April hingga 14 April ini. — Bernama