BINTULU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu menerima sumbangan 6,000 keping topeng muka daripada Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing untuk digunakan petugas barisan hadapan keselamatan yang terlibat dalam pemeriksaan dan sekatan PKP.

Sumbangan disampaikan pegawai khasnya Steven Kong Kai Seng kepada Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Zulkipli Suhaili di IPD Bintulu kelmarin.

Sumbangan itu bagi menghargai jasa petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani jangkitan wabak Covid-19 terutama dalam memastikan orang ramai mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Tiong turut menyerahkan sumbangan berupa makanan dan minuman kepada Zulkipli sebagai keperluan anggota barisan hadapan membabitkan anggota polis, tentera, Rela yang terlibat dalam penugasan pemeriksaan dan sekatan jalan raya sepanjang tempoh PKP di Daerah Bintulu.

Zulkipli merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan itu yang disifatkan sangat bermakna ketika negara sedang berjuang memerangi wabak Covid-19.