DEBAK: Adun Saribas Mohammad Razi Sitam proaktif mengagihkan bantuan makanan kepada 3,973 rumah di seluruh kawasannya.

Katanya, ia melibatkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM120,000.

“Ini merupakan inisiatif awal saya melalui Pusat Khidmat dan parti PBB Cawangan Saribas untuk membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya begitu memahami kesulitan yang dihadapi rakyat pada masa ini. Maka saya putuskan setiap pintu rumah dibantu tanpa mengira latar belakang politik,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Bagi program bantuan makanan Kerajaan Sarawak yang melibatkan peruntukan RM16.4 juta jelasnya, pihaknya masih menunggu arahan dan penduduk Saribas akan turut sama menikmatinya kelak.

“Saya mengharapkan pelaksanaan program bantuan tersebut bersifat menyeluruh dan dipastikan tiada yang tercicir. “Lebih-lebih lagi golongan yang tiada pendapatan tetap dan sememangnya layak dibantu.

“Insya-Allah Pusat Khidmat Adun Saribas serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kini pada tahap bersedia membantu agensi kerajaan menyalurkan bantuan agar urusan pengagihan kepada golongan sasaran berjalan lancar,” ujarnya.

Razi dalam pada itu mengingatkan rakyatnya agar sentiasa mematuhi segala arahan pihak berkuasa sepanjang tempoh PKP. Menurutnya, sokongan terhadap saranan kerajaan penting untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.