BINTULU:  Seorang lelaki ditahan polis apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya merempuh papan pemeriksaan polis dan khemah di Sekatan Jalan Raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jalan Tun Hussein Onn, di sini, Jumaat lalu.

Kejadian jam 11.40 malam itu difahamkan apabila lelaki tempatan berusia 49 tahun melanggar papan pemeriksaan Polis dan khemah sekatan jalan raya sebelum memecut laju kenderaannya.

Bagaimanapun kejadian itu tidak mengakibatkan kecederaan kepada anggota keselamatan yang bertugas di kawasan berkenaan, demikian kata Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili.

Beliau berkata berlaku adegan kejar mengejar dan saspek berjaya ditahan beberapa kilometer daripada tempat kejadian.

Pemeriksaan awal, mendapati saspek seorang berada di bawah pengaruh alkohol manakala semakan ke atas kenderaan yang dipandu saspek mendapati tiada dilaporkan hilang, katanya ketika mengesahkan kes tersebut.

Saspek disiasat di bawah seksyen 26(2) Akta Polis 1967/ 186 Kanun Keseksaan, seksyen 336 Kanun Keseksaan dan seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 selain turut disiasat di bawah seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saspek kini ditahan reman empat hari di Lokap Balai Polis Pusat Bintulu sehingga 8 April ini untuk siasatan lanjut.