APABILA James Brooke datang ke Sarawak, beliau dan keluarganya telah mengambil wilayah-wilayah Brunei untuk membentuk satu entiti politik baharu iaitu Sarawak.

Apa yang menjadi persoalan, apakah status Sarawak sebenarnya semasa di bawah pemerintahan Brooke? Jika dilihat ciri-ciri sebuah negara berdaulat ialah mempunyai kerajaan, sempadan dan penduduk.

Memang semua ciri-ciri di atas telah ada pada Sarawak iaitu telah ada pemerintahnya sendiri. Pemerintahan Sarawak diketuai oleh Rajah Brooke, dan dibantu oleh organisasi pentadbiran dari pelbagai lapisan dari pusat ke kampung. Untuk sempadan pula, Sarawak mempunyai sempadan jelas dengan Kalimantan (Belanda), Brunei dan Borneo Utara (Sabah).

Dr. Suffian Mansor

Ia merupakan sempadan darat, dan Sarawak juga mempunyai sempadan laut. Dari segi penduduk pula, Sarawak memang mempunyai penduduk tersendiri dengan pelbagai latar belakang etnik dan agama.

Malahan negeri ini juga mempunyai lambang-lambang negerinya sendiri seperti bendera dan jata negara. Tetapi yang peliknya, Sarawak diperintah oleh seorang warga asing, dari England. James Brooke dalam kes ini walaupun dilahir di India tetapi tetap mempunyai hak kewarganegaraan United Kingdom. Begitu juga dengan waris-warisnya, merupakan warga United Kingdom.

Semua kaum kerabat Brooke dikebumikan di England. Mereka juga membayar cukai kepada Kerajaan Britain. Namun demikian R. H. W. Reece dalam bukunya mendakwa, Sarawak bertaraf merdeka. Ini dilihat dalam pengiktirafan Amerika Syarikat terhadap Sarawak dalam tahun 1863. Selepas itu, pada tahun 1863, Kerajaan British juga mengiktiraf Sarawak.

Kerajaan British malah telah melantik konsulnya di Sarawak. Pengiktirafan dua kerajaan Barat ini memberi satu lagi input bahawa salah satu ciri negara merdeka ialah pengiktirafan kerajaan luar.

Apa yang berlaku di Sarawak ini membawa banyak persoalan tentang status sebenarnya.

Ketika itu iaitu abad ke-19, beberapa kawasan di Asia Tenggara telah menjadi sebahagian daripada jajahan kuasa Barat.

Hindia Timur merujuk pada Indonesia hari ini sebagai sebuah tanah jajahan kepada Belanda. Filipina pula di bawah Sepanyol dan kemudiannya Amerika Syarikat. Indochina pula di bawah pengaruh jajahan Perancis.

Burma (Myanmar hari ini) pula di bawah British. Begitu juga Tanah Melayu di bawah pengaruh British. Hanya Siam (Thailand hari ini) secara jelasnya bebas daripada pengaruh manamana kuasa.

Rata-rata yang saya bincangkan di atas menunjukkan bahawa kawasan-kawasan ini adalah jajahan kuasa Barat.

Namun demikian konsep jajahan ini kalau diamati dengan lebih teliti mempunyai makna berbeza. Beberapa konsep jajahan yang perlu difahami termasuklah koloni, naungan, dominion, informal empire, semi colonial dan sebagainya.

Sebelum ini kita dikejutkan salah seorang sarjana Malaysia yang mengatakan kita tidak dijajah.

Pasti hal ini membingungkan kita di Malaysia. Mana pula kita tidak pernah dijajah.

Dari segi logiknya sukar diterima, tetapi undang-undangnya boleh dipertimbang, khusus merujuk kepada negeri-negeri Melayu selain Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Ini kerana British di negeri-negeri ini perlu menjalankan tugas atas perkenan Sultan Melayu. Segala bentuk rang undangundang perlu mendapat cop mohor raja-raja Melayu untuk diluluskan.

Di sinilah ada satu ruang mengatakan bahawa sebarang tindakan British perlu mendapat perkenan Raja-raja Melayu. Malahan negeri-negeri Melayu ini juga, selain tiga negeri tadi merupakan negeri naungan, bukannya koloni.  Jikalau koloni maka kuasa ditentukan di London.

Berbalik kepada Sarawak, terdapat satu perjanjian ditandatangani oleh Sarawak dengan British yang memberi kuasa kepada British dalam beberapa hal.

Perjanjian ini juga ditandatangani oleh Brunei dan Borneo Utara. Perjanjian 1888 ini memberi taraf naungan kepada Sarawak (termasuk Brunei dan Borneo Utara).

Menurut konsep naungan, British mempunyai kuasa ke atas pertahanan dan hubungan luar untuk tiga wilayah di Borneo ini.

Namun demikian, kuasa dalaman masih lagi dipegang oleh pihak berkuasa tempatan. Dalam kes ini, Kerajaan Brooke masih lagi berkuasa dalam mentadbir Sarawak. Contoh jelas dalam hal ini ialah penentuan hubungan luar Sarawak semasa di ambang Perang Dunia Kedua.

Sarawak seperti dalam polisi luar British, akan bersama-sama pihak Berikat melawan Jepun. British juga menghantar tenteranya untuk mempertahankan Sarawak namun jumlahnya sedikit dan mudah dikalahkan oleh Jepun. Sepanjang pemerintahan Brooke ini, sehingga ambang Perang Dunia Kedua, pemerintah Brooke menggunakan alasan naungan ini untuk mengelak British terus mendominasi Sarawak.

Beberapa cadangan dikezzau kita faham, mengapa selepas Perang Dunia Kedua, sebahagian penduduk Sarawak menentang penyerahan British kerana Sarawak tidak mahu menjadi tanah jajahan atau koloni. Begitulah uniknya Sarawak semasa pemerintahan Brooke iaitu nampak merdeka tetapi masih lagi dipengaruh British. Malah British menganggap Sarawak sebagai sebahagian daripada empayarnya.