KUCHING: Semua pemilik laman media sosial yang mempunyai ramai pengikut digesa membantu mempromosikan produk e-bazar yang bakal dibuka menjelang Ramadan nanti.

Menurut Pengerusi Persatuan Penjaja Petra Jaya Mohamad Khairuzie Bolhassan, setelah Kerajaan Sarawak mengumumkan untuk tidak mengadakan bazar Ramadan semalam, mereka segera merancang platform media sosial supaya digunakan sebaiknya bagi membantu penjaja.

Jelasnya beliau menggesa semua pengguna Facebook yang mempunyai ramai pengikut dapat membantu penjaja mempromosikan jualan mereka pada bulan Ramadan nanti.

“Mewakili suara kepada semua peniaga, saya harap agar laman Facebook dan sebagainya dapat bersama membantu mempromosi jualan atas talian ini.

“Kita juga berharap ada inisiatif Kerajaan Sarawak membantu mempromosikan platform seperti Kenyalang Mall, ia dapat meningkatkan jumlah promosi jualan penjaja ini nanti,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau yang juga Pengerusi Pasar Malam Belia N6 Metrocity berkata, dengan penguatkuasaa PKP, banyak memberi kesan secara langsung kepada penjaja kecil terutamanya yang bergantung setiap hari kepada hasil jualan harian.

“Kita memohon bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan bagi membantu peniaga di pasar malam.

“Langkah awal mewujudkan laman Facebook Pasar Malam Ramadhan/Syawal Belia N6 Metrocity-online – kepada penjaja agar mereka dapat bersama-sama kita mempromosikan produk dan menjalankan jualan kali pertama e-bazar,” ujarnya.