KUCHING: Pemantauan dan kawalan lebih rapi akan dibuat di Kota Samarahan, ekoran kadar jangkitan Covid-19 yang semakin bertambah setiap hari di bahagian ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata langkah itu bagi mengawal pertambahan kadar jangkitan di situ.

“Sejak pagi tadi beratus orang sudah datang untuk membuat saringan dan individu yang telah menghadiri beberapa majlis di mana terdapat orang positif juga dinasihatkan pergi membuat saringan di Dewan Suarah Samarahan,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Sementara, Karim yang juga timbalan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menasihati orang ramai supaya tidak saling menyalahi antara satu sama lain mengenai penyebaran Covid-19 di negeri ini.

“Saya melihat ada tuduh menuduh dan sebagainya…wabak ini tidak memilih bangsa atau agama, apa yang berlaku adalah perkara yang tidak diingini.

“Semua orang tidak mahu terkena penyakit ini, jadi tidak perlu kita mewar-warkan wabak Covid-19 ini merebak disebabkan oleh bangsa itu dan ini kerana ia boleh menimbulkan perasaan yang tidak diingini.

“Harapan saya agar semua orang bersabar, jangan menuduh dan sebagainya,” katanya.

Manakala mengenai pelancong asing yang terkandas di Sarawak, Karim berkata mereka perlu pulang sekiranya visa atau permit untuk tinggal di negeri ini sudah tamat tempoh.

“Namun kita faham, mereka juga mahu keluar tetapi disebabkan larangan dan kesukaran mendapatkan penerbangan maka mereka terkandas.

“Mereka juga tidak mahu dalam keadaan sekarang dan sedang berusaha keluar dari Sarawak,” katanya.