PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menegaskan tiada siapa yang tahu, bila perlawanan di seluruh dunia akan disambung semula.

Malah disambung sekali pun, ia bakal menjanjikan senario yang amat berbeza. “Kalau boleh kita mahu perlawanan diadakan semula esok… namun ia adalah sesuatu yang mustahil,” jelas Infantino.

“Buat masa ini, bola sepak tidaklah terlalu penting, berbanding isu yang lebih besar, Covid19,” kata Infantino. Keadaan akan bertambah sukar, sekiranya semua pertandingan musim ini dibatalkan dan tiada perlawanan sepanjang tahun ini.

Jika ini berlaku, maka landskap bola sepak dunia akan berubah 360 darjah… tidak lagi semeriah seperti yang sering kita saksikan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini.

Ia bukan hanya menjejaskan kelab yang terlibat, terutama kelab kecil, tetapi juga memberi kesan langsung terhadap penajaan, penyiaran, dan harga tiket perlawanan terpaksa diturunkan. Ini kerana budaya belanja penduduk dunia akan turut berubah selepas ini, ramai yang akan mengikat perut, hanya berbelanja mengikut keperluan, bukan untuk hiburan.

Ia memerlukan masa untuk pulih seperti sedia kala, mungkin dua atau tiga tahun selepas lenyapnya Covid-19, atau lebih lama lagi.

Untuk tempoh terdekat ini, kemungkinan besar FIFA akan mengarahkan semua ahli gabungannya merombak semula liga utama, di samping mengurangkan kejohanan domestik yang tidak begitu penting. Malah ada kemungkinan jumlah pasukan yang bertanding akan dikurangkan, bagi meminimumkan jumlah perlawanan.

Yang pasti, sebahagian besar kelab kecil dijangka akan menarik diri ekoran kekangan kewangan. Ini pasti akan menjejaskan ribuan pemain dan ratusan jurulatih di seluruh dunia, yang bakal menjadi penganggur. Gaji pemain tidak akan lagi semewah dulu… mungkin jauh lebih kecil.

Sekarang ini kebanyakan kelab ternama di Eropah telah pun memotong gaji pemain, sehingga 70 peratus. Malah kebanyakan pasukan/ kelab di Asia, termasuk Malaysia turut mengambil langkah yang sama. Ia bukan sahaja membantu mengurangkan beban kelab, tetapi juga sebagai alternatif mengumpul dana untuk membantu rakyat yang terjejas.

Ia merupakan langkah murni bersifat kemanusiaan warga sukan di seluruh dunia. Terkini, Itali yang terkenal dengan Liga Serie A mencatat 14,681 kematian dengan 119,827 kes, manakala 4,068 lagi rakyatnya sedang kritikal. Ia diikuti Sepanyol yang terkenal dengan La Liga, mencatat 11,774 kematian dengan 124,736 kes, manakala 6,416 lagi kritikal.

Dalam keadaan seperti ini, tidak mungkin La Liga dan Serie A akan disambung semula. Ini kerana ia bukan lagi soal siapa yang lebih hebat, Barcelona atau Real Madrid, Juventus atau Lazio? Oleh itu, Juventus tidak rela dimahkotakan sebagai juara sekiranya Serie A dihentikan. Bagaimana pula dengan Liverpool?

Setelah 30 tahun menunggu dan memburu, sudah pasti mereka tidak rela kempunan lagi. Yang pasti sekarang ini adalah masa untuk kita sama-sama memikirkan strategi, formasi, pertahanan dan serangan bagaimana untuk menewaskan Covid-19.