KUCHING: Memahami kesulitan dihadapi pelanggannya sepanjang tempoh PKP susulan Covid-19, kedai makan Nyems Sekal di Jalan Haji Taha di sini berkolaborasi dengan GrabFood dan Lyfe.

Pemiliknya Asrizan Rabini berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kelangsungan pernigaan keluarga itu apabila PKP melarang orang ramai makan di kedai.

“Sama seperti kedai makan yang lain, kami menyediakan perkhidmatan makanan bungkusan sahaja. “Bagaimanapun, bagi memudahkan pelanggan yang tidak keluar rumah, mereka boleh memesan makanan daripada aplikasi Lyfe dan GrabFood,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Kata Asrizan lagi, hidangan yang menjadi tarikan pelanggannya semasa PKP ialah nasi kukus dan masakan bergoreng.

“Meskipun waktu operasi dipendekkan semasa PKP, namun, kami masih menerima banyak tempahan daripada para pelanggan. “Sehubungan itu, kami sentiasa patuh dengan arahan pihak berkuasa apabila hanya beroperasi sehingga jam 7 malam,” tambahnya.

Beliau turut mengakui pendapatan perniagaan keluarganya itu menyusut semasa PKP jika dibandingkan dengan hari-hari biasa.

“Kita memperoleh pendapatan yang agak lumayan pada musim cuti sekolah dan cuti umum kerana orang ramai keluar makan bersama-sama keluarga. “Oleh itu, kita berharap agar pandemik Covid-19 ini cepat berakhir agar kehidupan semua rakyat kembali seperti biasa,” ujarnya.

Asrizan juga menggesa supaya orang ramai mematuhi PKP dan menjaga jarak sosial dengan orang lain. Menurutnya, dalam masa akan datang, pihaknya akan menyediakan perkhidmatan katering untuk orang ramai. Namun, ia masih dalam perbincangan, katanya.