KUCHING: Operasi perniagaan di Pasar Minggu Satok di sini terus ditangguh bagi mematuhi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Penangguhan perniagaan di Pasar Minggu Satok bermula sejak PKP dilaksanaan 18 Mac lalu sehingga tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.  Tempoh penguatkuasaan PKP ditambah sehingga 14 April depan.

Pengarah Fama Negeri Sarawak Datuk Dr. Sani Hasan bagaimanapun berkata, sepanjang tempoh PKP dilaksanakan hanya pasar basah di Medan Niaga Satok dekat Kubah Ria dibenarkan beroperasi bermula jam 7 pagi hingga jam 2 petang setiap hari.

Menurutnya, hanya dua blok yang dibenarkan beroperasi iaitu blok B dan blok C yang menjual pelbagai barang keperluan asas seperti ayam, daging, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit.

“Ini bagi membolehkan orang ramai mendapat bekalan makanan yang mencukup sepanjang tempoh PKP,” ujarnya.

Namun demikian orang ramai yang berkunjung ke Medan Niaga Satok perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dengan menggunakan topeng mulut dan melakukan penjarakan sosial antara satu meter satu sama lain.

Pasar Minggu Satok yang sebelum ini diadakan di Jalan Satok mula berpindah ke Medan Niaga Satok dekat Kubah Ria, Jalan Matang pada 1 Januari 2013.

Pasar Minggu Satok yang ada sekarang menyediakan ruang niaga yang lebih luas dengan pelbagai kemudahan serta bersih dan sentiasa menjadi tarikan pengunjung.