WASHINGTON: AS menggesa semua penduduknya supaya memakai topeng penutup mulut dan hidung ketika di tempat awam bagi melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19 yang dikhuatiri tersebar melalui pernafasan normal.

Cadangan itu dikeluarkan selepas rekod baharu angka korban dalam sehari akibat virus berkenaan di AS membabitkan 1,480 kematian, tertinggi berbanding mana-mana negara lain sejak pandemik itu tercetus, malah mengatasi bilangan 1,169 kes sama pada hari sebelumnya di negara itu.

Presiden Donald Trump berkata, saranan kepada seluruh 330 juta penduduk AS supaya memakai topeng muka bukan perubatan di tempat seperti kedai runcit, berterusan untuk ‘suatu tempoh masa tertentu’.

“Ia secara sukarela. Anda tidak perlu berbuat sedemikian dan saya memilih untuk tidak melakukannya.

“Namun, sesetengah orang mungkin mahu melakukannya dan itu tidak mengapa,” katanya kepada pemberita.

Ketua Pakar Bedah AS, Jerome Adams berkata, cadangan itu timbul berikutan ramai yang positif Covid-19 namun tidak menunjukkan simptom dan memberi amaran amalan penjarakan sosial penting.

Pengumuman itu dibuat selepas Anthony Fauci yang mengetuai tindak balas saintifi k kerajaan, menyokong penemuan baru-baru ini virus berkenaan terkandung dalam wap ultrahalus yang terbentuk apabila manusia menghembuskan nafas.

“Hasil penyelidikan itu mendapati virus itu sebenarnya mampu tersebar walaupun orang sekadar bercakap,” kata Fauci dalam Fox News.

Akademi Sains Kebangsaan menghantar surat ke Rumah Putih 1 April lalu, merumuskan penyelidikan baru-baru ini menyatakan ia belum konklusif, namun hasil kajian itu konsisten dengan aerosolisasi virus daripada pernafasan normal.

Sejak virus itu mula dikenal pasti di China pada akhir Disember tahun lalu, pakar kesihatan memaklumkan penyebaran utamanya ialah melalui batuk dan bersin.

Cadangan AS memakai topeng muka mungkin memburukkan lagi masalah kekurangan topeng yang teruk di AS dan Eropah, yang keduaduanya bergantung pada import dari China.

Sementara Trump menggesa penduduk AS ‘sekadar menghasilkan sesuatu’ atau menggunakan skaf untuk tujuan itu, sekali gus menjimatkan topeng muka klinikal untuk kegunaan petugas kesihatan dan pesakit. – AFP