KUCHING: Semua rakyat Sarawak dari luar negara, Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang masuk ke negeri ini akan dikuarantin di pusat kuarantin yang telah ditetapkan di mana mereka tiba.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata bilangan rakyat Sarawak yang telah ditempatkan di pusat kuarantin sebagai Individu Dalam Siasatan (PUI) adalah seramai 181 orang iaitu di Hotel Hock Lee, Kuching (87), Hotel Mega, Miri (68) dan Hotel Somerset (26).

“Bilangan penerbangan dari Labuan ke Miri juga akan dikurangkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Manakala, semua bengkel kereta dan motosikal dibenarkan dibuka dua kali seminggu iaitu pada Selasa dan Khamis dari jam 7 pagi hingga 7 petang.

Sementara, Karim yang juga timbalan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata pelaksanaan PKP Tahap 2 di Sarawak berjalan dengan lancar tanpa berlaku insiden yang tidak diingini.