KUCHING: Bulan Ramadan yang bakal tiba cukup sinonim dengan kehadiran bazar Ramadan yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa termasuklah menjadi lubuk rezeki utama buat para penjaja.

Namun tahun ini, keadaan cukup berbeza ekoran daripada ancaman Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sekali gus memberi kesan kepada aktiviti perniagaan dan mengundang dilema kepada penjaja bazar ini.

Semalam dilema tersebut terjawab apabila Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan, Kerajaan Sarawak tidak membenarkan bazar Ramadan dibuka sebagai langkah berterusan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

E-bazar platform terbaharu Pengerusi Persatuan Penjaja Petra Jaya Mohamad Khairuzie Bolhassan berkata, mereka kini sedang merancang mewujudkan bazar Ramadan atas talian atau e-bazar kepada para penjaja dan pengguna pada bulan puasa nanti.

“Usaha ini kita bincangkan bersama-sama pihak pengurusan, DBKU dan Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman sebelum ini. Sekiranya bazar Ramadan tidak akan dibuka pada bulan ramadan tahun ini.

“Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Junaidi Reduan ada memberi saranan mewujudkan e-bazar dalam perbincangan tersebut.

Kini ia bukan lagi pilihan kedua dan kita akan merancang pelbagai strategi bagi membantu para peniaga terus berniaga menerusi kaedah maya meskipun tiada bazar Ramadan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Mohamad Khairuzie yang juga Pengerusi Pasar Malam Belia N6 Metrocity memberitahu, kini pihaknya amat mengalakkan para penjaja yang sedia meneruskan perniagaan di atas talian melalui laman sosial, Facebook.

“Melalui laman Facebook ‘Pasar Malam Ramadhan/Syawal Belia N6 Metrocity-online-’ kita himpunkan semua para penjaja sedia ada dan promosikan produk mereka ini bersama-sama,” ujarnya.

Bantu promosi produk disamping itu katanya, inisiatif Kerajaan Sarawak melalui platform Kenyalang Mall dengan kerjasama Ted Sarawak turut diusahakan bagi membolehkan peniaga mempromosikan produk mereka dari rumah.

Selain itu mereka akan dibantu dari segi promosi melalui lintas langsung di Facebook berkenaan.

Bagaimanapun kata, ramai penjaja masih belum berani memulakan peniagaan menggunakan platform atas talian atas sebab kekurangan modal dan belum bersedia untuk mencuba kelainan.

Menurutnya, mereka hanya berniaga untuk tempoh dua minggu sahaja sebelum PKP diumumkan. “

Sebenarnya, penjaja yang turut serta berjual secara atas talian kini mendapat pulangan yang lumayan seperti perniagaan biasa.

Oleh itu, kami amat galakkan penjaja menyertai medium baharu ini.

“Kini hanya 35 peratus penjaja menjual makanan dan lima peratus lagi menjual barangan seperti pembersih tangan dan topeng muka kain untuk tempoh ini,” katanya.

Mohamad Khairuzie juga bersetuju bazar Ramadan tidak diteruskan memandangkan peningkatan kes Covid-19 dan beberapa kawasan diisytiharkan zon merah.

“Wabak ini menjejaskan perniagaan majoriti penjaja di Pasar Malam Metrocity Matang yang terdiri daripada penjaja tetap dan 20 peratus lagi menjalankan peniagaan separuh masa.

“Justeru, bulan Ramadan kali ni ialah satu kelainan buat semua kerana kita tidak tahu bagaimana maklum balas dan penerimaan pengguna dalam menggunakan ebazar ini nanti,” ujarnya.

Sokongan padu pengguna Facebook Menerusi Facebook sedia ada iaitu ‘Pasar Malam Belia N6 Metrocity’ mereka akan terus membantu penjaja untuk promosi produk yang ada agar ada pengguna membeli melalui platform ini.

Mewakili suara kepada semua penjaja bazar di seluruh Sarawak, Mohamad Khairuzie berharap dengan kewujudan e-bazar tersebut, ramai pihak terutamanya pemilik akaun media sosial yang mempunyai jumlah pengikut yang ramai dapat membantu mempromosikan perniagaan para penjaja pada bulan Ramadan nanti.

“Kepada pemilik laman Facebook seperti “I LOVE KUCHING’, Sarawak Edition, Kamek Miak Sarawak dan sebagainya ini , saya berharap mereka dapat bersama- sama membantu untuk mempromosikan e-bazar dan barangan jualan makanan ini nanti,” ujarnya.

Kerjasama syarikat penghantar barangan, difahamkan pihaknya juga, kini sedang dalam rundingan dengan beberapa syarikat mahupun pemilik aplikasi penghantar dari Sarawak iaitu aplikasi Heply untuk mewujudkan kerjasama membantu para penjaja ini.

“Pihak Food Panda juga kini sedang berusaha untuk menjalankan kolaborasi bersama kita termasuk beberapa syarikat runner tempatan.

“Kini kita ketahui juga aplikasi Heply merupakan medium utama buat masyarakat untuk melakukan tempahan dan penghantaran barangan,” jelasnya.