KUCHING: Para peniaga komited menjalankan perniagaan atas talian kerana tahun ini tiada bazar Ramadan seperti sebelum ini. Tinjauan Suara Sarawak dalam laman Facebook mendapati terdapat beberapa inisiatif dilakukan masyarakat khususnya kumpulan peniaga memastikan perniagaan mereka terus berjalan.

Satu laman Facebook (Kumpulan Awam) ditubuhkan dengan nama Bazar Ramadan Online Kuching dan Samarahan, Sarawak. Menurut tulisan Razio Crunch (Admin) Bazar Ramadan tersebut, mereka mendapat sambutan hangat apabila berjaya meraih 18,000 pengikut dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

Malah, tinjauan mendapati laman Facebook tersebut mempunyai 21,000 pengikut setakat jam 5 petang semalam. Razio dalam tulisannya juga meminta agar para peniaga mempromosikan barangan serta harga untuk memudahkan pelanggan.

Mereka juga membuka peluang kepada penghantar barang atau makanan untuk turut serta dalam laman Facebook itu. Justeru, peniaga dinasihatkan mengutamakan produk makanan terlebih dahulu agar objektif bazar Ramadan dapat dicapai.

Selepas itu, barulah para peniaga memberikan fokus kepada perniagaan pakaian dan sebagainya memberi laluan kepada bazar Aidilfitri. Pihak mereka juga menyeru agar masyarakat khususnya di  Sarawak mengikuti dan menjadi ahli Bazar Ramadan Online tersebut.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga mengumumkan Kerajaan Sarawak membuat keputusan tidak membenarkan bazar Ramadan dan bazar Gawai beroperasi tahun ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Beliau juga menyatakan para peniaga dan pembeli digalakkan untuk menggunakan transaksi jual beli dalam talian atau e-bazar Ramadan bagi membekal dan mendapatkan bekalan makanan atau bahan keperluan sepanjang Ramadan serta persiapan Gawai.