LONDON: Pandemik Covid-19 dilihat memberi kesan kepada peningkatan jumlah kemiskinan di Britain selepas satu dekad berjimat cermat yang dicetuskan oleh krisis kewangan global pada tahun 2008, menurut pakar.

Data rasmi turut menunjukkan 14 juta penduduk di United Kingdom (UK) diklasifikasikan hidup dalam kemiskinan atau hampir suku jumlah penduduknya dengan 4.2 juta kanak-kanak miskin atau 30 peratus secara keseluruhannya.

Ketua Ekonomi Yayasan Joseph Rowntree, Dave Innes, berkata keadaan bertambah teruk apabila UK mengenakan perintah berkurung dan penduduk hilang pekerjaan terutama sektor hospitaliti dan peruncitan, selain gaji yang rendah dan pekerjaan yang tidak selamat.

Sejak dua minggu lalu, hampir sejuta penduduk di UK memohon Universal Credit iaitu bantuan kerajaan. Pengarah Kumpulan Tindakan Kemiskinan Anak UK, Louisa McGeehan, berkata apabila keluarga yang mempunyai pendapatan standard sebelum pandemik dan memohon Universal Credit, mereka akan melihat bahawa mereka sebenarnya tergolong dalam golongan miskin.

Selain itu, permintaan terhadap pembelajaran atas talian juga boleh mengundang keadaan bertambah teruk memandangkan sekolah juga ditutup.

Namun, dalam masa yang sama kebanyakan sekolah menganjurkan pembelajaran menerusi internet di rumah, namun ketiadaan fasiliti internet atau komputer juga memungkinkan mereka tidak berupaya untuk belajar.

“Ada negara di mana krisis kemiskinan kanak-kanak menjadi teruk akibat Covid-19, sehingga perlu untuk mewujudkan rangsangan negeri yang besar, termasuk rangsangan Universal Credit,” kata McGeehan.

Innes berkata, secara ekonomi pihaknya beranggapan ia seperti kemelesetan yang besar dan sukar untuk pulih dalam masa yang cepat, selain ia akan menjejaskan golongan miskin dan mereka yang berisiko kemiskinan.

Sementara itu, bank makanan turut berdepan cabaran apabila kurang sumbangan akibat Covid19, biarpun kerajaan ada memperuntukkan makanan kepada kanak-kanak yang mendapat makanan percuma di sekolah.