KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana hari ini memutuskan bahawa semua kilang pemprosesan rumbia dibenarkan dibuka dari jam 7 pagi hingga 7 petang.

Manakala bilangan penerbangan dari Labuan ke Miri akan dikurangkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada tiga kali seminggu iaitu Isnin,
Khamis dan Sabtu.

Selain itu, penerbangan dari Kuala Lumpur-Miri-Kuala Lumpur dua kali seminggu iaitu Khamis dan Ahad.

Ini dinyatakan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Sementara, beliau berkata semua rakyat Sarawak yang pulang dari luar negara, Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan ditempatkan di Pusat Kuarantin di mana mereka tiba.

Dalam pada itu, Karim yang juga timbalan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata sebanyak lima hotel telah dijadikan sebagai pusat kuarantin PUS (Person Under Surveillance).

Katanya seramai 285 orang telah ditempatkan di pusat kuarantin berkenaan iaitu di Hotel Hock Lee (86) dan Hotel Rajah Court Dormani (91) di Kuching, Hotel Mega (68) dan Somerset (34) di Miri serta Hotel Purnama (6) di Limbang.