KUALA LUMPUR: Pakej Prihatin PKS (Tambahan) bernilai RM10 bilion akan membantu mengurangkan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak COVID-19, ke atas perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro, kata penyelidikan Ambank.

Bank itu menerusi nota penyelidikannya hari ini berkata banyak PKS mengalami kekangan aliran tunai disebabkan perolehan jualan yang sifar atau minimum.

“Namun keadaan itu bukan hanya disebabkan oleh PKP malah perniagaan juga terjejas berikutan pelaksanaan dasar dan langkah yang perlahan dan tidak konsisten, selain perang perdagangan dan cabaran domestik yang lain sebelum wabak ini menular,” menurutnya.

Bank itu berkata tanpa langkah tambahan ini, walaupun PKP ditarik balik, permintaan tetap dijangka suram untuk beberapa tempoh akan datang disebabkan pengelakan perjalanan dan penjarakan sosial.

Tidak semua perniagaan kecil mengambil langkah persediaan untuk bertahan dalam menghadapi kelembapan, menurut Ambank.

Penurunan perbelanjaan pengguna dan korporat akan meningkatkan reaksi rantaian yang buruk sehingga boleh menyebabkan kejatuhan perniagaan mikro, terutama yang masih baharu dan lebih kecil kerana keadaan mereka yang sangat mudah terjejas, menurutnya.

“Secara amnya, perniagaan yang telah lama dan besar dijangka lebih ampuh untuk mengharungi krisis ekonomi. Eksport akan kekal suram susulan perintah berkurung dan harga komoditi pula lemah.

“Oleh kerana perniagaan kecil menyumbang secara tidak seimbang kepada kehilangan pekerjaan semasa kemelesetan, justeru perlu ada tindakan dasar,” katanya.

Ambank berkata berdasarkan langkah-langkah tambahan oleh kerajaan, selain tumpuan lebih banyak kepada perniagaan mikro yang membentuk sebahagian besar PKS, sokongan ini akan membantu mengurangkan kebankrapan dan pinjaman tidak berbayar.

“Mungkin ada sedikit bantuan bagi kehilangan pekerjaan yang masih menjadi kebimbangan utama walaupun ini dijangka amat berbeza berdasarkan usia dan saiz perniagaan kecil,” kata penyelidikan Ambank.

PKS dan perniagaan mikro membentuk dua per tiga daripada guna tenaga dan menyumbang 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia. – Bernama