KUCHING: Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak adalah sebanyak 96.3 peratus setakat hari ini.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, semalam polis telah menangkap 35 orang kerana melanggar PKP dan 51 orang telah dituduh di mahkamah.

“Manakala seramai 12 orang telah dipenjara dan 29 orang telah didenda,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Karim yang juga timbalan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata Sibu merekodkan lapan kes tangkapan, Kota Samarahan (7), Kuching (6), Padawan (5), Sarikei (4), Miri (3), Bintulu (1), Julau (1).

Manakala pertuduhan mengikut daerah ialah Miri (17), Kuching (12), Padawan (9), Sibu (4), Bintulu (4), Sri Aman (2), Sarikei (2) dan Julau (1).

Karim menambah sehingga hari ini seramai 4,140 petugas polis telah menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dibantu seramai 1,220 agensi bantuan seperti tentera (681), Rela (397), Angkatan Pertahanan Malaysia (63) dan Polis Sukarelawan (PVR) (79).