MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) menyokong keputusan Kerajaan Sarawak untuk membatalkan bazar Ramadan dan Gawai pada tahun ini.

Menurut Datuk Bandar Miri Adam Yii menerusi satu kenyataan di media sosial, apa yang paling penting sekarang ialah langkah berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan terlebih dahulu.

“Dalam menghadapi masa krisis dan potensi risiko yang besar, marilah kita mengambil langkah berjaga-jaga dahulu dan cuba untuk bertahan.

“Selepas ini, kita boleh menikmati apa yang kita inginkan dalam keadaan yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa tiada bazar Ramadan dan Gawai selaras dengan saranan supaya tidak mengadakan perhimpunan beramai-ramai bagi tempoh enam bulan sehingga satu tahun berikutan penularan Covid-19.

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan bazar diadakan tahun ini bagi mengekang dan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.