PIHAK pengurusan skuad Kuching FA dengan kerjasama Yakult Malaysia sedang mengadakan Pertandingan Menimang Bola Di Rumah selama 30 saat di rumah masing-masing bermula 4 April lalu hingga 14 April ini.

Setiap peserta harus memuat naik video berdurasi 30 saat menimang bola menggunakan keduadua belah kaki di laman sosial rasmi ‘Kuching Football Family’.

Peserta juga harus menghantar nama dan berapa kali bola yang mampu ditimang selama 30 saat. Sebanyak 11 peserta pertama yang berjaya menimang bola terbanyak selama 30 saat akan mendapat hadiah wang tunai RM100.

Selain itu, peserta yang berjaya juga akan mendapat tiket perlawanan percuma Kuching FA dan jersi pasukan. Tujuan utama pertandingan adalah untuk mengajak para peminat bola sepak tempatan bersatu dalam sukan popular itu.

Ia juga menyahut seruan kerajaan untuk terus duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mengajak orang ramai untuk kekal cergas dan mengamalkan kehidupan sihat semasa berada di rumah.