SEBANYAK 630 peserta telah mendaftar untuk menyertai Pertandingan Cabaran E-Sukan Belia Dari Rumah yang bermula pada 10 April hingga 13 April ini.

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan berkata, 400 peserta telah mendaftar untuk kategori pertandingan PUBG Mobile yang kini telah penuh dan ditutup penyertaan. “Manakala kategori FIFA 20 seramai 230 penyertaan. Penyertaan masih dibuka sehingga mencapai 256 penyertaan.

“Jumlah penyertaan setakat ini 630 dan sambutan amat menggalakkan daripada belia-belia seluruh Sarawak,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Tambah beliau, sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan pertandingan untuk Siri Kedua akan diadakan.

“Untuk siri kedua nanti kita akan memberi kelebihan kepada peserta yang tidak sempat mendaftar untuk mengikuti pertandingan Siri Pertama.

“Bagi peserta yang pernah mengikuti pertandingan Siri Pertama tidak dapat mendaftar untuk penyertaan Siri Kedua. Ini untuk memberi ruang kepada mereka yang terlepas pertandingan,” ujarnya.

Jelasnya, pertandingan Siri Kedua akan ada pertambahan kategori pertandingan seperti Pro Evolution Soccer (PES), Tekken 7, Mobile Legend (MLBB). “Untuk pertambahan tiga kategori itu peserta memerlukan talian internet yang kuat,” tambahnya lagi.