SIMANGGANG: Tiga bekas pekerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang diberhentikan, antara 12 gelandangan yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara Gelandangan dekat Stadium Sri Aman bermula semalam.

Menurut penguat kuasa di Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Sri Aman Mohamad Nazri Mohamad Sharkawi, dua daripada mereka berasal dari Selangor dan seorang lagi dari Labuan.

“Mereka diberhentikan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan akhirnya terdampar ekoran kehabisan wang untuk membayar tempat menginap dan membeli makanan.

“Difahamkan, penerbangan pulang mereka sepatutnya pada 23 Mac lalu, tetapi ekoran PKP dan menunggu pengesahan tiket daripada AirAsia, mereka tidur di kaki lima secara bersembunyi,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Jelasnya, PKMB mula mengesan ketiga-tiga mereka pada 23 Mac hasil maklumat polis.

“Sejak itu, kita menghantar makanan, set kebersihan dan beg tidur untuk keselesaan mereka yang menumpang di kaki-kaki lima,” ujarnya.

Tambah Nazri, sembilan gelandangan lain merupakan warga tempatan dan empat daripadanya mempunyai masalah mental.

“Sepanjang di pusat ini, PKMB menyediakan makanan dan minuman tiga kali sehari untuk mereka. Turut dibekalkan set kebersihan dan beg tidur. “Kesemua mereka sudah menjalani saringan Covid-19.

Setakat ini kesemua mereka negatif.

“Pemantauan berterusan akan dibuat oleh pihak kesihatan.

“Malah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sri Aman juga turun padang untuk membuat saringan air kencing,” jelasnya.

Pusat Penempatan Sementara Gelandangan di Stadium Sri Aman mampu memuatkan 30 gelandangan dipantau oleh pihak PKMB, Rela, Angkatan Pertahanan Awam, polis serta sukarelawan kebajikan termasuk anggota kesihatan.