KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan mengadakan kerjasama dengan aplikasi Helpy Service untuk membantu peniaga-peniaga se-masa bulan Ramadan.

Pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad berkata, aplikasi tersebut boleh digunakan oleh mereka dan penghantaran juadah yang ditempah akan dihantar ke rumah. “Kita akan membantu mereka walaupun bazar Ramadan ditutup. Mereka boleh melakukan perniagaan secara penghantaran seperti Food Panda.

“Helpy Service ini dibuat dan diguna pakai di tempat lain oleh anak Sarawak sendiri. “Kami mahu mereka mendaftar dengan Helpy Services seterusnya menikmati perkhidmatan kepada komuniti termasuk penghantaran juadah puasa kepada pelanggan-pelanggan mereka,” katanya kepada pihak media semalam selepas meninjau operasi nyahcemar di Jalan Carpenter semalam.

Tambah Morshidi, semua penghantaran tempahan akan diuruskan oleh pihak pengurusan Helpy Service. Katanya lagi, DBKU akan mengumumkan penggunaan aplikasi tersebut dalam masa yang terdekat.

Ekoran pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai tiada bazar Ramadan pada tahun ini, peniaga-peniaga yang mendaftar dan membuat pembayaran kepada DBKU akan dikembalikan semula pembayaran mereka.

Dalam perkembangan lain, Morshidi memberitahu, perniagaan tepi jalan yang tidak berlesen seharusnya menutup perniagaan masing-masing.

Jelas beliau, kerana keadaan Covid-19 semasa, ada nelayan dan petani yang berjual di rumah mereka akan dihadkan. “Kita hadkan, bukan mengalakkan oleh kerana permintaan makanan dalam keadaan ini, mereka boleh berjual,” ujarnya