JAKARTA: Indonesia merekodkan lebih 200 kematian akibat wabak Covid-19 pada Isnin, dengan kerajaan menyuarakan kebimbangan terutama tentang jangkitan daripada pembawa tanpa gejala memandangkan jumlah kes positif meningkat.

Memetik laporan Jakarta Post, Ketua Pengarah Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kementerian Kesihatan, Achmad Yurianto berkata 218 kes baru disahkan pada Isnin, menjadikan jumlah kepada 2,491 kes berikutan 11,242 sampel diuji di seluruh negara.

Setakat ini, 209 orang meninggal dunia akibat penyakit berjangkit itu manakala 192 pulih.

“Kami percaya peningkatan jumlah kes datang dari sumber (jangkitan) yang sukar dikesan.

Kami menyatakan sesetengah sumber adalah orang yang tidak menunjukkan gejala,” kata Achmad pada Isnin.

Beliau berkata pembawa tanpa gejala menyebarkan virus itu melalui titisan ketika mereka bercakap, bersin atau batuk, tetapi mereka sendiri tidak menyedari menghidap penyakit tersebut.

“Gambaran sebenar data yang kami kumpulkan menunjukkan masih terdapat sumber jangkitan di luar sana dengan pembawa tanpa gejala dalam kalangan orang ramai,” katanya,

Tambahnya, “Ada orang yang terdedah kepada jangkitan kerana mereka tidak memakai topeng muka atau membasuh tangan mereka.

“ Dengan trajektori wabak Covid-19 yang tidak menunjukkan sebarang tanda menjadi perlahan, kerajaan minggu lalu mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam di seluruh negara dan melaksanakan sekatan sosial berskala besar bertujuan membendung penularan virus Covid-19 Antara langkah itu, kerajaan memerintah rakyat tinggal di rumah dan tidak ke sekolah, pejabat, tempat ibadat atau tempat awam.

Sesetengah wilayah, seperti Bandung di Jawa Barat, Balikpapan di Kalimantan Timur dan Tegal di Jawa Tengah, menutup sementara jalan utama dan memperkenalkan perintah berkurung waktu malam apabila wilayah di luar Jawa mula merekodkan peningkatan jumlah kes.

Jakarta merekodkan 101 kes baharu pada Isnin, menjadikan jumlah kes disahkan positif Covid-19 di kota itu kepada 1,232 kes, kebih separuh daripada jumlah keseluruhan negara. – AFP