KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) amat komited untuk memastikan inisiatif yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (Prihatin Tambahan) dapat dinikmati dengan segera oleh usahawan yang disasarkan.

Bagi tujuan ini, MEDAC, melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, telah mengenal pasti mekanisme pelaksanaan yang akan dilaksanakan untuk memastikan kelancaran pemberian insentif ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) berkata, pemohon hanya perlu mengemukakan satu bulan penyata kewangan.

“Pemohon dalam senarai hitam Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Pendidikan (PTPTN) boleh dipertimbangkan.

“Usahawan yang belum berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) layak memohon, namun, mereka perlu berdaftar dengan SSM sebelum pinjaman disalurkan,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut, boleh menghubungi hotline Tekun, 03-9059 8888 atau layari laman sesawang www.tekun.gov.my.

Dalam pakej Prihatin Tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sejumlah RM200 juta telah disediakan oleh kerajaan bagi pembiayaan Skim Kredit Mikro untuk membantu aliran tunai perniagaan usahawan dengan pemansuhan kadar faedah kepada 0 peratus daripada dua peratus sebelum ini.

Had maksimum pinjaman adalah sebanyak RM10,000 bagi setiap usahawan mikro yang layak. – Bernama