SIMANGGANG: Sedikit kelewatan dalam proses pengagihan sumbangan barang makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak harus dijadikan isu untuk memburukburukan kerajaan.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, petugas pusat khidmat dan jentera parti termasuk Ketua-ketua Masyarakat dan Kaum (KMKK) yang bertanggungjawab ketika ini bertungkus-lumus memastikan segala sumbangan kerajaan sampai dengan segera.

“Setakat ini terdapat 1,269 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan Dun Simanggang telah mendapat bantuan makanan masing-masing.

“Selebihnya akan turut menerima bantuan yang sama sebaik bekalan makanan diperolehi.

“Saya harap sedikit kelewatan tidak disalah erti atau menjadi modal sesetengah pihak untuk memburuk-burukan kerajaan kerana sebelum ini sudah ada jaminan sesiapapun yang terjejas akibat PKP akan dibantu,” katanya.

Beliau yang juga Adun Simanggang berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan makanan kepada Gereja Saint Gabriel, Menalang (300 KIR dari 19 rumah panjang) dan Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Klassen, Undop (361 KIR dari 17 rumah panjang), semalam.

Jelasnya, banyak pihak menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan disebabkan seluruh negeri memerlukan barangan makanan yang hampir serupa.

Justeru tambahnya, permintaan yang tinggi terhadap barangan yang sama tidak dapat ditampung oleh pembekal dalam masa yang singkat.

“Ini memberi kesan kepada usaha kita untuk menyegerakan bantuan. “Saya menasihati rakyat yang belum mendapat bantuan, bersabar. Kerana, usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan bekalan daripada pembekal dengan kadar segera,” ujarnya.

Pengagihan sumbangan di Dun Simanggang melibatkan kerjasama Pusat Khidmat Adun Simanggang, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan anggota parti termasuk KMKK. Dalam perkembangan berasingan, Harden sempat melawat seorang pesakit Edmund Majuh Busang dari Rh. Lina, Bayai C yang mengalami penyakit misteri.

Beliau turut menyampaikan sumbangan ‘frame walker’ dan barang makanan.

Hadir sama Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman Vivian Engkiong.