PENGGIAT sukan permotoran Sarawak membatalkan tiga program yang telah dirancang awal 2020 bagi menyahut seruan kerajaan untuk mengekang penularan wabak Covid-19 dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ia melibatkan semua program pada 2020, dan ia akan diadakan pada 2021 pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Program yang dibatalkan di bawah Kelab Dragrace Sarawak ialah Perlumbaan Motosikal Drag pada 4 April hingga 5 April, Perlumbaan Kereta dan Motorsikal Drag Kuching pada 11 Julai hingga 12 Julai dan Karnival Motorsport Sarawak pada 19 Disember hingga 20 Disember.

Manakala dua penganjuran sukan bermotor di bawah kendalian Kelab Motorcross Region 1 Kuching ditangguhkan, sehingga tarikh baharu yang akan dimaklumkan kemudian.

Dua pertandingan tersebut ialah Kejohanan Motorcross KBS 2020 di Serikin Bau pada 18 April hingga 19 April dan 1 Singai Dirtbike Gathering and Fun Race Series 4 di Kampung Tondong Bau yang dijadualkan pada 2 Mei hingga 3 Mei depan.

Presiden Kelab Dragrace Sarawak, Mohamad Sofian Fariz berkata, seperti yang telah dirancangkan pada penghujung tahun lepas, Sarawak akan mengadakan banyak aktiviti sukan permotoran tahun ini untuk menarik lebih ramai pelancong dan peminat sukan motor datang ke negeri ini.

“Selepas berbincang dengan beberapa pihak, penganjur pertandingan terpaksa akur supaya tidak mengadakan sebarang pertandingan sukan permotoran dalam masa terdekat demi kebaikan bersama untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

“Dalam masa yang sama saya akan sentiasa memaklumkan perkembangan semasa kelab kepada atlet-atlet sukan permotoran mengenai status terkini penganjuran sukan tersebut,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Tambah beliau, para pelumba hanya menjalani latihan dengan bermain perlumbaan dalam talian seperti aplikasi permainan motogp dan dragrace dari rumah.

Selain itu, mereka turut berkongsi idea di media sosial seperti facebook untuk memantapkan jentera masing-masing. Sufian turut menasihati para peminat sukan tersebut agar sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan serta tidak ingkar arahan kerajaan untuk sentiasa berada di rumah.