KUCHING: Tindakan kerajaan yang membenarkan bengkel kenderaan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mendapat reaksi positif masyarakat setempat.

Rata-rata mereka berpendapat langkah tersebut membantu masyarakat terutama ketika berhadapan waktu kecemasan. Kerajaan telah mengehadkan tempoh operasi bengkel selama dua kali dalam seminggu.

Bagaimanapun, masyarakat tetap memahami keadaan tersebut kerana ia adalah usaha untuk meme-rangi wabak Covid-19 yang melanda negara.

Tinjauan Suara Sarawak semalam mendapati semua pemilik bengkel memberi tindak balas positif terhadap terma dan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan sepanjang beroperasi.

Kebanyakan mereka telah meletakkan tanda amaran di hadapan bengkel masingmasing, sebagai isyarat  pelanggan tidak dibenarkan memasuki dan mendekati pekerja di dalam bengkel.

Salah seorang pemilik bengkel, Gan Tze Yong menjelaskan dia turut menyediakan beberapa langkah pencegahan di bengkel. Ia termasuk menyembur sanitasi tangan pada kenderaan dan pelanggan sebelum memberikan perkhidmatan.

“Semoga kerjasama baik daripada semua pihak dapat membantu negara memerangi wabak yang amat berbahaya ini,” kata Tze Yong.