KUCHING: Umum mengetahui yang bazar Ramadan di Sarawak dibatalkan susulan langkah berjaga-jaga daripada pandemik Covid-19.

Tidak hanya berdiam diri, e-Bazar Ramadan dibentuk di media sosial sebagai usaha membantu pengusaha kecil dan sederhana (PKS) serta mempelbagaikan juadah berbuka puasa para pelanggan.

Bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Perkhidmatan Penghantaran Helpy mengambil inisiatif untuk mengumpul PKS melalui e-Bazar Ramadan di tapak Jalan Semarak dan Medan Niaga Satok.

Pengarahnya, Dr Morshidi Ahmad berkata, e-Bazar Ramadan adalah satu platform perniagaan atas talian yang menghubungkan pelanggan dan usahawan secara selamat, cepat dan tanpa tunai. “Malah, e-Bazar Ramadan diperkasakan dengan sistem penghantaran pantas.

Dr Morshidi Ahmad

“Objektif kita adalah menyokong usaha kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19 dan membantu PKS yang terkesan oleh pandemik itu,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Menurut Morshidi, mereka juga mempunyai objektif untuk mempromosi dan mentransformasikan masyarakat kepada kehidupan secara digital dan membuka peluang pekerjaan selari dengan pelan ekonomi digital Sarawak.

“Pendekatan inovatif dan kreatif ini turut memastikan agar komuniti setempat dalam meneruskan kehidupan seharian semasa wabak Covid-19 seperti berniaga dan membeli belah secara atas talian.

“Helpy bersolidariti membantu Kerajaan Sarawak dan PKS dengan menyediakan platform jualan dan penghantaran atas talian yang dinamakan e-Bazar Ramadan melalui aplikasi Helpy Lifestyle Solution,” jelasnya.

Katanya, platform Helpy dilengkapi dengan e-dagang, gerbang pembayaran dan penghantaran pantas kepada pelanggan.

“Justeru, konsepnya 100 peratus atas talian dengan kawalan penjual, penghantar dan pelanggan melalui dashboard. “Kita juga mengguna pakai pembayaran atas talian menerusi e-wallet bagi mengelak risiko jangkitan melalui sentuhan pada wang tunai dan memberikan penjimatan kepada pelanggan,” ujarnya.

Morshidi berkata, penghantaran pula tanpa melibatkan sentuhan sepenuhnya dengan jarak satu meter dari segi sosial dan fizikal ketika pelanggan mengambil barangan. Tambahnya, konsep pembungkusan pula selamat dan mesra alam menggunakan dua lapisan beg plastik, pelekat keselamatan dan seragam.

“Kita mewajibkan PKS menghadiri atau menonton video latihan keselamatan makanan, mempunyai lesen atau permit digital oleh DBKU dan memakai sarung tangan, penutup mulut, topi serta apron.

“Kita juga mewajibkan PKS mempunyai elektrik dan bekalan air terawat selain melakukan pemantuan harian secara digital untuk memastikan kebersihan dapur serta memeriksa suhu badan harian penjual, pembantu dan penghantar,” tegasnya.