PUTRAJAYA: Kadar kematian akibat COVID-19 di Malaysia adalah masih rendah iaitu pada kadar 1.58 peratus berbanding purata negara-negara lain yang dilaporkan kira-kira 4.6 ke 5.6 peratus daripada jumlah mereka yang dijangkiti.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peratusan itu membuktikan perkhidmatan perubatan yang diberikan dalam negara sama ada di wad atau unit rawatan rapi (ICU), adalah pada tahap baik dan memuaskan.

“Pakar-pakar kita, contohnya pakar bius dapat merawat pesakit sebaik mungkin dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada mereka kerana memberikan rawatan yang mantap dan berkesan kepada semua pesakit di wad dan ICU,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sini, hari ini.

Mengenai pesakit di ICU, Dr Noor Hisham menjelaskan lima peratus pesakit COVID-19 dimasukkan ke unit itu untuk menerima rawatan dan peratusan discaj adalah sekitar 35 hingga 40 peratus.

“Yang selebihnya masih dirawat di ICU, atau mereka akan kembali ke wad biasa… kira-kira lima peratus atau 4.9 peratus, diuruskan di ICU, dan kirakira 30 peratus daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan,”katanya.

Sementara itu, beliau berkata KKM sentiasa memantau ubat yang digunakan untuk merawat pesakit COVID-19 terutamanya jika pesakit mempunyai gejala atau penyakit-penyakit lain.

“Apabila kita mulakan ubat contohnya ’off label’, kita kena pantau sama ada ubat itu berkesan atau banyak kesan sampingan, khususnya bagi mereka yang ada penyakit lain… kita kena pantau sebelum diberikan rawatan Hydroxychloroquine,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan penggunaan ubat Hydrochloroquine mempunyai beberapa kesan sampingan seperti sakit kepala, kabur penglihatan dan cirit-birit.  – Bernama