PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan 66 kes tangkapan di kawasan perairan negara sepanjang bulan Mac lepas, penurunan 38.3 peratus berbanding 107 kes Februari.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata sebahagian besar kes tangkapan itu melibatkan Akta Perikanan iaitu 31 kes, Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (17),  Akta Imigresen (8) dan selebihnya atas pelbagai kesalahan lain.

“Pemantauan berterusan aset-aset laut dan udara sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) banyak membantu ke arah pematuhan dalam kalangan komuniti maritim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Zubil berkata pihaknya mengenal pasti 75 kawasan titik panas atau laluan haram di seluruh negara yang menjadi laluan pendatang asing tanpa izin masuk ke negara ini, dengan 64 daripadanya 64 daripadanya adalah di Semenanjung dan 11 lagi di Sabah.

“Langkah drastik sedang dilakukan bagi menangani isu kemasukan pendatang asing tanpa izin bersama sindiket tekong darat yang dijangka akan mula berleluasa selepas tamat tempoh PKP,” katannya.

Menurutnya hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, beberapa nama tekong  darat di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka telah disenaraikan dan akan diburu oleh pihak polis dalam masa terdekat.