MEXICO CITY: Negara Amerika Latin menggesa dan ada sebahagiannya mewajibkan orang ramai memakai topeng muka untuk membendung wabak Covid-19, meskipun pakar di seluruh dunia masih membahaskan keberkesanannya dalam menghalang jangkitan, lapor agensi berita Xinhua.

Di Chile, seramai 5,116 orang positif Covid-19 dan 43 meninggal dunia, sehubungan itu kerajaan mewajibkan penggunaan topeng muka di semua pengangkutan awam dan swasta.

Di Ecuador, Jawatankuasa Operasi Kecemasan (COE) memutuskan untuk mewajibkan pemakaian topeng muka di tempat awam, kata Menteri Dalam Negeri Maria Paula Romo.

Ecuador antara tiga negara paling teruk terjejas di Amerika Latin, bersama Brazil dan Chile, melaporkan 3,747 kes dengan 191 kematian.

Brazil yang berdepan masalah kekurangan bekalan topeng muka, memutuskan tiga bank persendirian terbesar di negara itu – Itau, Bradesco dan Santander – bergabung membekalkannya.

Bank berkenaan mengumumkan peruntukan 50 juta reals (AS$10 juta) membeli 15 juta topeng daripada pengeluar kecil- kecilan di Brazil.

Brazil melaporkan 13,717 kes dengan 667 kematian, menurut Kementerian Kesihatan.

Garis Panduan WHO mengesyorkan memakai “topeng jika mengalami batuk atau bersin”. Orang yang sihat pula harus memakai topeng muka jika mereka menjaga seseorang yang mungkin mempunyai virus itu, kata WHO.

“Penggunaan topeng muka berkesan apabila ia disusuli dengan mencuci tangan dengan kerap menggunakan cecair pembasmi kuman atau sabun.” – Bernama