ASAJAYA: Operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang hilang di perairan di sini, yang memasuki hari kelima hari ini masih gagal menemui mangsa.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Robert Teh Geok Chuan berkata pencarian telah diperluaskan dari kuala Sungai Moyan hingga 10 batu nautika dari pantai.

“Keluasan sektor pencarian hari ini adalah seluas 25 batu nautika persegi menjadikan keseluruhan kawasan pencarian selama lima hari seluas 110 batu nautika persegi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Robert berkata bot pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) juga telah melaksanakan pencarian di kawasan pesisir pantai dan sungai Moyan sepanjang tiga batu nautika.

Selain itu, katanya penduduk kampung turut membantu mengunakan kaedah menunda pukat di kawasan yang telah dikenal pasti namun tidak membuahkan hasil.

Pada masa sama, beliau berkata pencarian juga dibuat di sepanjang pantai dan kawasan hutan paya bakau semasa air surut di sebelah pagi sejauh lebih kurang tiga kilometer.

Robert berkata operasi ditangguhkan dan akan diteruskan semula pada jam 8 pagi esok.

Mangsa, Hamzah Dipi,49, disyaki hilang selepas ke luar ke laut menangkap ikan jam 1 pagi Sabtu lalu.

Setakat ini hanya bot mangsa yang ditemui oleh rakan nelayannya pada jarak tiga batu nautika dari pantai 5 April lalu.

Operasi mencari dan menyelamat nelayan hilang di perairan Asajaya.