KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan 15 lagi kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah bilangan kes positif di negeri ini sebanyak 327 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam suatu kenyataan sebentar tadi berkata daripada 15 kes tersebut, 14 kes dirawat di Hospital Umum Sarawak dan satu kes di Hospital Bintulu.

“Pada hari ini, sebanyak 254 kes baharu individu dalam siasatan  (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,259 kes.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,696 kes adalah negatif dan 327 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, statistik kes PUI mengikut daerah masih didahului oleh Kuching iaitu 194 kes diikuti Samarahan 16 kes, Bau dan Simunjan masing-masing 11 kes, Serian enam kes, Bintulu lima kes, Belaga dan Miri masing-masing empat kes, manakala Lubok Antu, Betong dan Kapit masing-masing satu kes.

Selain itu, terdapat penambahan seramai 207 orang rakyat Sarawak yang tiba dari luar negara, Semenanjung, Sabah dan Labuan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan seramai 575 orang dan telah ditempatkan di Pusat Kuarantin sebagai PUS (Person Under Surveillance).

Mengikut statistik, di Kuching seramai 273 orang telah ditempatkan di tiga buah pusat kuarantin, Bintulu seramai 16 orang ditempatkan di sebuah pusat kuarantin, Miri seramai 217 orang telah ditempatkan di lima buah pusat kuarantin manakala Limbang seramai 69 orang telah ditempatkan di sebuah pusat kuarantin.