KUCHING: Sebanyak 18 lagi kes baharu positif Covid-19 dicatatkan di Sarawak semalam, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, ia menjadikan bilangan kes positif Covid-19 di negeri ini adalah sebanyak 306 kes sejak pertama kali dikesan pada 13 Mac lalu. “Daripada jumlah itu, 14 kes dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS), tiga di Hospital Sibu dan satu lagi di Hospital Miri.

“Malah, sebanyak 67 kes baharu orang di bawah siasatan (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,864 kes,” katanya pada sidang media harian mengenai pandemik Covid-19 di sini kelmarin.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menambah, daripada jumlah itu, sebanyak 1,503 kes adalah negatif dan 55 lagi PUI masih menunggu keputusan makmal.

“PUI paling ramai adalah di Kuching iaitu 38 orang diikuti oleh Samarahan (14), Miri (lima), Betong (tiga), Bintulu (dua) serta masing-masing seorang di Bau, Saratok, Sarikei, Sibu dan Marudi. “Dalam pada itu, pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak adalah sebanyak 96.5 peratus,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan memberitahu, sehingga Selasa lalu, sebanyak 25 orang telah ditahan oleh pihak polis kerana melanggar PKP di negeri ini dan 71 telah dituduh di mahkamah.

Katanya, daripada jumlah itu, 58 orang mengaku salah manakala seramai 16 orang telah dipenjara dan 35 lagi didenda.

Sehubungan itu, Abdul Karim mengharapkan tiada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Sarawak.

“Jika boleh, kita tidak mahu sampai ke tahap itu dan keadaan di Sarawak adalah terkawal. “Trend wabak Covid-19 pula tidak merebak dengan cepat,” ujarnya.