KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang Fasa 2 (BKSS 2.0) bernilai RM1.1 bilion, sebentar tadi.

Menurutnya, bantuan tersebut adalah untuk meringankan beban kewangan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Perusahaan Mikro, peniaga serta penjaja di Sarawak.

“BKSS 2.0 ini akan membantu dalam memacu aktiviti perniagaan di negeri ini serta membantu para peniaga dalam menghadapi krisis Covid-19 kini,” ujarnya pada sidang media selepas Mesyuarat Ketua Menteri Bersama Menteri Penuh Kabinet di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Tambahnya, terdapat empat langkah yang diambil untuk membantu para usahawan tersebut antaranya adalah memansuhkan kos faedah kepada PKS dengan kerjasama Maybank, Hong Leong Bank dan RHB Bank di bawah Dana Bantuan Khas Bank Negara Malaysia (BNM) dengan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM1 bilion kepada PKS tempatan.

Selain itu, jelasnya, Kerajaan Sarawak juga menyediakan dana khas yang berupa geran RM1,500 kepada 65,000 peniaga dan penjaja yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Dana khas tersebut akan dibayar menerusi aplikasi Sarawak Pay.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang tinggal dalam kawasan pedalaman dan sukar mendapatkan liputan internet ia akan dibayar menggunakan baucar tunai terutamanya bagi mereka yang berdaftar dengan FAMA dan Jabatan Pertanian (DOA),” jelas Abang Johari.