KUCHING: Anggota polis di Balai Polis Bintawa menerima sumbangan pelindung muka (face shield) sebagai langkah pencegahan Covid-19 semasa mereka menjalankan tugas.

Dalam suatu kenyataan media Pustaka Negeri Sarawak semalam, sumbangan tersebut adalah hasil kerjasama Pustaka Negeri Sarawak bersama Shahfian Sapuan dari MiLUS Miniatures.

“Inisiatif ini bertujuan sebagai penghargaan kepada mereka kerana telah berkhidmat dan memastikan masyarakat sentiasa berada di dalam keadaan selamat.

“Pihak kami telah menggunakan tiga unit mesin pencetak 3D sumbangan Kedutaan Amerika Syarikat di bawah program ‘American Corner Sarawak’ dan mesin pencetak buatan tempatan dari Proteus,” kata kenyataan itu.

Pustaka Negeri Sarawak berharap supaya semua pihak berusaha untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19 daripada terus menular agar orang ramai dapat menjalani kehidupan seperti biasa.