MIRI: Seramai 35 gelandangan di Pusat Penempatan Sementara Gelandangan di Dewan Bulan Sabit Merah di sini menerima sumbangan daripada Sarawak Shell Berhad.

Sumbangan berupa makanan dan pakaian itu diserahkan kepada mereka di Dewan Bulan Sabit Merah di sini, pada Rabu.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, sumbangan tersebut amat bermakna khususnya kepada gelandangan ini yang sebahagiannya dalam keadaan daif dan sehelai sepinggang.

“Keprihatinan Sarawak Shell Berhad dan kerjasama dalam membantu golongan yang memerlukan ini amatlah dihargai,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Difahamkan, setiap kotak yang diterima mengandungi pelbagai keperluan makanan, pakaian asas dan keperluan asas serta beberapa karton air mineral Shell.

Meskipun setakat ini hanya terdapat 35 gelandangan, namun jumlah sumbangan tambahan telah pun diberikan untuk memenuhi keperluan pada masa akan datang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terdahulu, satu pusat sementara disediakan bagi menempatkan gelandangan yang berjaya diselamatkan di sekitar bandar raya Miri bagi membendung penularan Covid19.