TANJUNG MANIS: Sebanyak 500 penerima dari tujuh kampung di kawasan Dun Semop di sini menerima bantuan berupa barangan keperluan sumbangan peribadi Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Manis (Protem) Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi.

Sumbangan dihantar menggunakan beberapa bot bagi memastikan setiap kumpulan sasar di setiap tujuh kampung Dun Semop menerima bantuan itu.

Antara golongan yang menerima bantuan adalah asnaf, anak yatim, ibu tunggal, warga emas serta OKU di Dun Semop berkenaan.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sarawak menjelaskan, semua penerima kini menarik nafas lega kerana bantuan makanan itu sampai tepat pada masanya.

Katanya, antara kampung terlibat ialah Kampung Penipah, Kampung Paloh, Kampung Betanak, Kampung Bruit, Kampung Semop, Kampung Kedeng dan Berangan Paloh dan antara barangan keperluan asas yang diagihkan adalah seperti beras, gula, susu pekat, dan air kordial.

“Sebanyak tujuh petugas dari Pusat Khidmat kita ditugaskan untuk menghantar bantuan ini dengan menaiki bot yang berlepas dari Terminal Satu, Sarikei dan dihantar ke setiap kampung- kampung yang terlibat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya lagi, bantuan tersebut diagihkan menerusi Ketua Bersatu di setiap kawasan dan akan diserahkan kepada penerima yang memerlukan.

“Bantuan keperluan asas ini disediakan atas dasar keprihatinan kita terhadap mereka yang amat memerlukan makanan asas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan diharapkan setiap mereka tidak akan tercicir,” ujarnya.

Selain mematuhi PKP, beliau juga mahu rakyat di Dun Semop sentiasa mempraktikkan amalan kebersihan seperti kerap membasuh tangan, menggunakan penutup mulut dan hidung serta menggunakan cecair pembasmi kuman ketika berada di tempat awam.

Selain itu, sebanyak 30 alat pemadam api turut diserahkan kepada wakil penduduk di Kampung Penipah, Kampung Bruit, Kampung Semop, Kampung Betanak dan Kampung Paloh. Alat pemadam api jenis serbuk kering itu merupakan kemudahan yang amat diperlukan dikampung tersebut bagi mencegah kebakaran.

Mengenai pembinaan beberapa balai bomba di Parlimen Tanjong Manis, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengenai perkara berkenaan dan kini dalam proses perancangan.

“Penduduk di Dun Semop juga ada membuat permohonan untuk membina sekolah, balai polis, jalan Kampung serta banyak lagi kemudahan asas lain yang akan diusahakan dalam masa terdekat,” ujarnya.