SEPANG: Tugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini bukan hanya membantu polis di sekatan jalan raya malah peranan mereka diperlukan bagi membantu para petugas kesihatan di lapangan bagi membuat saringan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Kehadiran mereka di kedua-dua lapangan terbang adalah bagi meringankan beban yang dipikul oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) ketika membuat saringan kesihatan terhadap rakyat Malaysia yang baru tiba dari luar negara demi mengelak penularan wabak COVID-19.

Pegawai Penyelaras ATM KLIA, Kol Dr Mohd Izwan Hussin berkata 38 pegawai dan anggota ATM ditempatkan di dua lapangan terbang antarabangsa berkenaan yang dibahagikan kepada tiga syif sejak 23 Mac lepas.

“Petugas-petugas ATM akan membantu petugas KKM dalam mengawal jarak penumpang yang baru tiba dan membuat saringan kesihatan para penumpang seperti memeriksa suhu badan dan sejarah perjalanan mereka.

“Jika terdapat simptom COVID-19, penumpang akan diasingkan dahulu untuk dihantar ke hospital manakala mereka yang tidak mempunyai sebarang simptom akan dibawa oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara terus ke pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dr Mohd Izwan berkata pasukannya memeriksa antara 300 hingga 1,000 penumpang setiap hari dan majoriti penumpang merupakan rakyat Malaysia yang telah mendapat kebenaran untuk pulang ke tanah air.

Dalam perkembangan sama, pegawai kesihatan KKM KLIA, Dr Harishah Talib berkata bantuan yang diterima daripada ATM membantu meringankan tugas KKM dalam melancar dan mempercepatkan proses saringan kesihatan.

Dr Harishah berkata sebelum ini, petugas KKM mengalami kesukaran apabila berhadapan dengan ramai penumpang dalam satu-satu masa disebabkan kekurangan kakitangan.

“Hanya 20 hingga 26 petugas KKM ditempatkan di KLIA dan klia2. Namun, dengan kehadiran ATM di lapangan terbang, ia meringankan beban kerja yang ditanggung oleh petugas KKM.

“Dengan adanya pihak ATM, keadaan dapat dikawal dan para penumpang yang tiba memberikan kerjasama baik selain menjaga jarak satu meter antara mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, tinjauan Bernama mendapati kira-kira 10 penumpang telah diasingkan hari ini untuk dibawa ke hospital kerana disyaki mempunyai gejala wabak COVID-19.

Selain itu, kelihatan beberapa warga asing sedang menunggu penerbangan mereka di KLIA.

Menurut seorang petugas KLIA yang enggan dikenali, rata-rata mereka menunggu penerbangan untuk pulang ke negara masing-masing kerana terdapat negara-negara yang masih membuka pintu masuk untuk menerima kemasukan rakyat mereka.

Bernama difahamkan, tiada rakyat Malaysia di KLIA melainkan mereka yang baru tiba dari luar negara selain tinjauan mendapati terdapat warga Indonesia yang diiringi pegawai imigresen iaitu pendatang tanpa izin yang telah mendapat kebenaran pulang oleh kerajaan seterusnya akan dihantar pulang ke negara asal.

Hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang telah menempatkan anggota masing-masing di KLIA dan klia2 bagi membantu menguruskan kepulangan rakyat Malaysia di kedua-dua lapangan terbang itu. – Bernama