PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersedia membantu polis dan tentera melaksanakan sekatan jalan raya di seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut diputuskan pada Mesyuarat Khas MenteriMenteri semalam.

“Hari ini (semalam) kami bersetuju dengan permintaan JPJ untuk membantu PDRM dan ATM melaksanakan sekatan jalan raya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sementara itu katanya, bermula Rabu polis telah menguatkuasakan tindakan kompaun RM1,000 serta-merta terhadap mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sehingga kini (semalam), sebanyak 95 notis kompaun telah diserahkan kepada individu terbabit.

“Mereka yang didapati ingkar PKP akan dibawa ke balai polis sebelum diberikan kompaun dan bayaran tersebut perlu diselesaikan di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh dua minggu selepas tarikh ia dikeluarkan.

“Mereka yang gagal membayar kompaun akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya.