MUKAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Mukah menyita 40 unit topeng muka bernilai RM100.00 di sebuah premis perniagaan di Pekan Dalat.

Dalam serbuan pada Rabu lalu, sitaan itu dilakukan selepas menerima aduan dari orang awam yang memaklumkan topeng muka dijual dengan harga yang sangat mahal dari yang ditetapkan di pasaran.

Menurut Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Mukah Salihin Den pemilik premis perniagaan berkenaan telah menjual topeng muka jenis tiga lapis pada harha yang sangat tinggi.

“Hasil pemeriksaan yang kita dijalankan mendapati peniaga telah menjual topeng muka tiga lapis dengan harga yang lebih tinggi iaitu RM2.50 seunit melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan iaitu RM1.50 seunit.

“Tindakan kes telah kita ambil di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 iaitu melibatkan mana-mana individu yang menjual atau menawarkan untuk menjual apa-apa barangan yang terkawal selain mengikut harga atau caj-caj yang telah ditetapkan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Pertemuan Salihin Den bersama pengamal media di pejabatnya baru-baru ini.

Tambahnya lagi sekiranya suspek didapati bersalah, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

“Dalam pada itu jika bagi Syarikat atau Pertubuhan Perbadanan, mereka boleh didenda sehingga RM500,000.00 atau dikompaun sehingga RM250,000.00,” ujarnya .

Untuk rekod, sehingga 8 April (Rabu) yang lalu Pejabat KPDNHEP Mukah menjalankan pemeriksaan ke 1119 premis perniagaan meliputi bandar dan luar bandar, dan telah menghasilkan sebanyak 39 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM54,102.98 dan jumlah kompaun sebanyak RM16,050.00.

Ini termasuk pemeriksaan secara harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) dan Pegawai Penguatkuasa turut dilaksanakan bagi memastikan barangan keperluan mencukupi di pasaran dan dijual pada harga yang berpatutan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.