KUCHING: Sebuah premis perniagaan di Jalan Song, di sini diperiksa susulan aduan orang awam bahawa ia telah menjual topeng muka pada harga yang tinggi.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak dalam satu kenyataan, semalam berkata pemeriksaan dijalankan pada Selasa lalu dan Notis Seksyen 21, Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 telah diserahkan kepada pemilik premis tersebut.

“Siasatan akan dijalankan dan sekiranya didapati peniaga menaikkan harga yang tidak munasabah dan melebihi paras harga kawalan, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.

Peniaga yang didapati bersalah menaikkan harga semua jenis penutup hidung dan mulut boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau keduaduanya. Manakala syarikat atau pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Sebanyak 165 aduan diterima KPDNHEP Sarawak sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan hingga Selasa lalu. Daripada jumlah itu, sebanyak 59 aduan adalah membabitkan penutup hidung dan mulut dan pensanitasi tangan.

Bagi tempoh 1 Januari sehingga 7 April ini, KPDNHEP Sarawak telah melaksanakan sebanyak 12,981 pemeriksaan ke atas premis perniagaan meliputi bandar dan luar bandar.

Terdapat 387 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM2,409,179.71 dan jumlah kompaun sebanyak RM71,150. Kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sahaja telah menghasilkan sebanyak 212 kes, dengan nilai rampasan sebanyak RM17,689.27 dan jumlah kompuan sebanyak RM37,500.

Sebanyak 35 Notis Pencatutan telah dikeluarkan bagi tempoh 1 Januari sehingga 7 April dan daripada jumlah tersebut sebanyak 15 Notis dikeluarkan dalam tempoh PKP.

Sehubungan dengan itu, KPDNHEP menyeru dan menasihatkan semua peniaga tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan yang tidak munasabah atau terlalu tinggi dalam tempoh pelaksanaan PKP ini.

Jika didapati ada peniaga yang ingkar, tindakan tegas akan diambil. Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau Portal e-aduan kpdnhep di http://e-aduan.kpdnhep. gov.my atau di talian Whatsapp 019- 2794317 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat Kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.