KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah mengucapkan tahniah atas inisiatif guru sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, guru menyediakan kerja rumah, latihan, jadual kerja dan ulang kaji melalui aplikasi WhatsApp dan video mata pelajaran tertentu serta e-Pembelajaran.

“Inisiatif pendidikan dan pembelajaran yang berterusan dari rumah semasa PKP pasti memberi manfaat kepada pelajar.

“Ia mewujudkan rasa tenang dalam kalangan pelajar apabila guru sentiasa berhubung dan berkomunikasi dengan mereka walaupun sekolah ditutup.

“Perbualan tidak semestinya 100 peratus mengenai kerja sekolah. “Guru boleh bertanya khabar, sekali gus pelajar akan mengetahui bahawa guru mengambil berat tentang mereka,” katanya.

Fatimah turut berkata, pendidikan berterusan dari rumah juga menyediakan rutin yang sangat diperlukan dalam kehidupan kanak-kanak semasa PKP.

Jelasnya, ibu bapa ada memeberitahunya bahawa anak-anak menjadi lebih produktif ketika menggunakan gajet di rumah.

Tambah Fatimah, guru perlu jelas dalam jangkaan mereka dan ia harus diketahui oleh ibu bapa dan pelajar.

“Jadual dan subjek harus dirancang dengan baik. Tugas yang diberikan mesti dikurangkan berbanding dengan apa-apa yang diberikan dalam bilik darjah,” katanya.

Beliau turut memberitahu, pembelajaran dari rumah memerlukan pelajar lebih berdisiplin.

“Di sinilah ibu bapa perlu melibatkan diri secara aktif. “Penglibatan ibu bapa diperlukan bukan sahaja untuk mengendalikan gajet, tetapi untuk membimbing, mengawasi dan dalam beberapa kes, menjelaskan tugas atau latihan yang diberikan oleh guru.

“Jelas bahawa jangkaan guru dan penglibatan ibu bapa dalam pendidikan kanak-kanak adalah faktor penting dalam menentukan kejayaan kanak-kanak dalam pendidikan,” katanya.