KUCHING: Hari ini pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat kepada 97.2 peratus berbanding semalam 96.5 peratus.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam suatu kenyataan sebentar tadi berkata semalam pihak Polis telah menangkap 14 orang kerana melanggar PKP dan 33 orang telah dituduh di Mahkamah.

“Daripada jumlah tersebut, 30 orang telah mengaku salah, enam orang telah dipenjara, 21 orang telah didenda dan 73 orang telah dikompaun.

“Kesemua 14 orang yang ditangkap semalam adalah dari Daerah Betong tujuh orang, Limbang empat orang manakala Miri, Sibu dan Kanowit masing-masing seorang,” kata kenyataan itu.

Selain itu, bagi operasi sanitasi di tempat awam pula, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah melakukan operasi tersebut di kawasan Zon Merah dan Zon Jingga.

Seramai 2,122 orang terlibat dalam operasi tersebut temasuk Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, RELA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah dan lain-lain.