KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan memutuskan tempoh hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan daripada 15 April sehingga 28 April 2020 bagi mengawal wabak Covid-19 daripada menular.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelanjutan tempoh PKP diteruskan atas dasar nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memberi ruang kepada petugas-petugas kesihatan memerangi penularan wabak berkenaan.

Menurutnya, tindakan tersebut selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menegaskan untuk tidak menamatkan tempoh PKP berikutan wabak terbabit dilihat meningkat semula selepas beberapa negara mula menamatkan PKP terlalu awal.

“Kita tidak boleh mengambil mudah situasi yang berlaku berikutan penukaran wabak ini masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan secara berterusan.

“Malahan usaha-usaha mencegah mesti diperhebatkan termasuk memberi tumpuan khusus kepada kumpulan-kumpulan sasar yang dikenal pasti menjadi punca penularan wabak ini,” jelasnya dalam satu sidang media, hari ini.

Dedahnya, pelaksanaan PKP di negara ini dilihat telah membantu mengurangkan penularan dan kebolehjangkitan wabak Covid-19 dalam keadaan stabil.

Susulan itu, katanya, kes-kes positif wabak tersebut dalam keadaan terkawal pada kadar tujuh peratus iaitu bawah tanda aras 10 peratus yang dikeluarkan oleh WHO.

Tambahnya, kadar kematian akibat wabak turut menunjukkan penurunan iaitu 1.6 peratus berbanding 5.8 peratus kadar kematian di peringkat dunia.

Jelas beliau, setakat ini seramai 1,830 orang pesakit telah keluar daripada hospital sekaligus menunjukkan 43 peratus pesakit Covid-19 telah pulih.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menegaskan bahawa arahan telah diberikan kepada pihak penguatkuasa untuk memperketatkan kawalan di sempadan bagi memastikan tiada aktiviti keluar masuk sempadan oleh pendatang tanpa izin ke negara ini.

Ujarnya, kawalan tersebut perlu diperketatkan terutamanya kawasan lorong-lorong tikus di persempadanan agar penularan wabak Covid-19 daripada pihak luar dapat dibendung sepenuhnya.